Monday 12 January 2015

PENGENALAN TANAMAN PADI







1) PENGENALAN TANAMAN PADI

Padi merupakan tanaman dagangan di Malaysia dan tujuan ditanam adalah untuk mendapatkan beras sebagai makanan ruji.Beras adalah bijian yang diperoleh daripada tanaman padi yang telah dikupas kulitnya.Terdapat dua jenis beras iaitu beras biasa dan beras pulut.Beras biasa menjadi sumber makanan utama,oleh itu beras ini lebih mendapat nilai dagangan sementara itu,penggunaan beras pulut adalah terhad untuk membuat kuih-muih sahaja.


Terdapat dua jenis padi di negara kita iaitu padi sawah dan padi huma. Walau bagaimanapun, hanya padi sawah yang diusahakan dan ianya amat sesuai diusahakan secara meluas dan ianya amat sesuai diusahakan di dataran mendap dan di delta-delta yang subur. Seperti yang kita tahu, tanaman padi banyak terdapat di Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu dan Perak. Tambahan lagi dataran Kedah dan dataran Kelantan sudah dikenali sebagai jelapang padi negara. Antara jenis padi yang terdapat di Malaysia ialah Padi Mahsuri, Padi Murni, Sri Malaysia, Setanjung, Sekembang, Seberang, Makmur dan MR 84.


2) KANDUNGAN:

a) PENGURUSAN AIR UNTUK TANAMAN PADI

Pengurusan air ialah gabungan proses pengambilan, penyaluran, pengawalseliaan, pengukuran, penyebaran, penggunaan dan pembuangan air. Ia tertumpu di peringkat sawah di mana proses-proses tersebut dilakukan pada kadar, kuantiti dan masa yang tepat untuk mendapatkan keuntungan maksima daripada penggunaan tanah dan air. Dalam memastikan air dapat disalurkan secara cekap, tiga perkara harus ditekankan, iaitu; 
  • Pastikan ban dalam keadaan baik dan mengikut piawai; 
  • Pastikan keadaan sistem taliair utama, sekunder, tersier dan sistem saliran berfungsi dengan baik; 
  • Pastikan infrastruktur pengairan, saliran dan jalan ladang dalam keadaan baik dan diselenggarakan secara berjadual.
Rajah 1: Keratan rentas struktur sawah dan infrastruktur pengairan dan saliran


Pengurusan air sawah 

Peringkat penyediaan tanah sawah 
Baiki batas sawah. Sebaik-baiknya ukuran batas tidak kurang daripada 30.5 cm lebar dan 15 cm tinggi. Pemeriksaan dan pembaikan batas hendaklah dilakukan dari semasa ke semasa untuk mengelakkan kebocoran dan menjamin simpanan air yang cukup bagi tanaman. Tanah sawah perlu diratakan dengan sempurna supaya bekalan air dapat diagihkan sama rata.



Peringkat pra tepu 
Air dimasukkan ke dalam sawah untuk melaksanakan aktiviti membajak atau badai ketiga. Petani perlu memastikan air dalam sawah di keluarkan sehingga peringkat tepu sahaja (diistilahkan: air cap-cap).




Peringkat menabur benih 
Air akan dibuang sehingga permukaan sawah menjadi cukup sekadar basah sahaja. Benih padi akan ditabur ke atas permukaan tanah. Pastikan taburan sekata dan seragam.
*Jika guna kaedah tabur serak dalam air, maka air dalam sawah tidak perlu dibuang.


Peringkat vegetatif (tampang) 
Air dimasukkan ke dalam sawah dan aras air di dalam sawah dinaikkan secara beransur-ansur sehingga ke paras 5 cm. Pastikan batas sawah tidak bocor agar air tidak dibazirkan. 




Peringkat beranak (tillering) 
Selepas itu, paras air hendaklah dinaikkan dan dikekalkan pada paras 10 cm selama lebih kurang 35 hari iaitu ke peringkat beranak maksima. Air yang berlebihan hendaklah disalirkan keluar. 



Peringkat bunting 
Pastikan aras air di dalam sawah adalah 5 cm hingga 10 cm. Air yang terlampau dalam menggalakkan pokok padi meninggi. Ini memudahkan lagi kejadian padi rebah. Air berlebihan hendaklah disalir keluar. 


Peringkat padi terbit 
Air dikekalkan 5 hingga 10 cm. Air berlebihan hendaklah disalir keluar. 



Peringkat padi terbit penuh Air dikekalkan 5 hingga 10 cm. Air berlebihan hendaklah disalir keluar. 



Peringkat padi mengisi 
Air dikurangkan ke paras 2.5 hingga 5 cm sahaja. Pastikan parit dalam sawah dalam keadaan bersih untuk memudahkan pembuangan air. 




Peringkat padi masak sehingga padi dituai 
Air akan dibuang sepenuhnya pada peringkat padi mula menguning. Bergantung kepada varieti padi, usia padi masak mungkin berbeza; 96 hingga 105 hari (MR 211), 100 hingga 110 hari (MR 219, MR220), 110 hingga 125 hari (MR 159, MR167, MR84, MR185). 



Faedah mengurus air
  • Menjamin bekalan air yang cukup di sawah. 
  • Dapat mengelakkan pembaziran air. 
  • Dapat mengawal rumpai. 
  •  Masa yang kritikal untuk menyekat pertumbuhan rumpai bermula dari menanam hingga 25-35 hari selepas menanam (bergantung kepada jenis padi). 
  • Dapat mengelakkan pertelagahan atau salah faham di antara petani. 
  • Dapat mengawal penyakit seperti reput tangkai dan serangga perosak seperti kutu bruang. 
  • Dapat mengurangkan kos pembajaan secara mengurangkan kehilangan baja melalui larian air pemukaan dan larutlesap. 
  • Membolehkan petani menanam padi dengan lebih luas kerana kurangnya pembaziran air.

b) KAEDAH PENANAMAN PADI

Kaedah tabur terus 

Sistem tanaman secara tabur terus terbahagi kepada dua iaitu tabur basah (menabur dalam air) dan tabur kering. Tabur terus basah diamalkan secara meluas sekarang. Benih yang telah bercambah ditabur terus ke kawasan sawah dalam keadaan tepu air. Tanah hendaklah terlebih dahulu disisir untuk membuat alur agar benih tidak dihanyutkan air. Bagi tabur kering pula, biji benih pra cambah ditabur ke kawasan sawah kering selepas penyediaan tanah. 

Tabur kering 


Tabur basah 


 Kaedah mengubah menggunakan jentera menanam 


Media semaian disediakan dengan campuran 50% sekam padi terbakar dan tebal media ialah 2-2.5 cm dipadatkan. Benih terpilih direndam selama 24 jam dan ditoskan selama 48 jam untuk memudahkan percambahan. Benih pracambah ditabur dalam kotak semai khas dengan kadar 200 g/kotak. Semaian dibiar bercambah 2-3 hari dan kemudian dipindah ke rak takungan untuk direndam. Semaian dijaga sehingga 15 hari atau tinggi semaian diantara 15-20 cm sebelum diubah dengan jentera penanam. Sebelum menanam, tanah hendaklah diratakan dengan sempurna supaya penanaman dan kawalan air dapat dijalankan. Selepas selesai menanam, air akan dinaikkan ke paras 2.5 hingga 5 cm.


Kaedah SRI (System of Rice Intensification) 

Bagi kaedah SRI, anak padi pada usia muda 8-12 hari yang mempunyai 2 daun dan benih yang masih melekat di akar dipindahkan ke sawah. Tanah perlu diratakan dengan sempurna, dan dimasukkan air cukup sekadar tepu sahaja. Penanda akan dibuat bagi menanam anak benih. Anak benih akan ditanam dalam bentuk kotak dengan jarak yang luas. Hanya satu sahaja anak benih bagi setiap titik penanda. Sawah dibiarkan tepu selama 45 hari dan air akan dinaikkan ke paras 2.5 hingga 5 cm sehingga 90 hari. 



c) VARIETI-VARIETI PADI

  1. PADI MR 232Varieti MR 232 adalah yang terbaharu ditemui mempunyai beberapa keistimewaan antaranya mutu beras dan cita rasa nasi yang sangat baik, kerintangan terhadap penyakit karah dan umur matang yang singkat.  Penanaman MR 232 memerlukan kemahiran pengurusan yang tinggi kerana ia amat sensitif kepada persekitaran.  Ia tidak memerlukan kadar pembajaan yang tinggi seperti MR 219 atau MR 220.  Ia amat sesuai untuk pengeluaran beras khusus mengikut varieti.

    Pembiakan MR 232 bermula pada musim luar 1994 dengan kacukan antara varieti W 60, iaitu varieti beramillos rendah dari Thailand dengan Y 1157, satu baka tempatan yang mempunyai sifat morfologi pokok yang baik serta rintang terhadap penyakit dan perosak utama tanaman padi.  Pemilihan dilakukan berasaskan ciri-ciri tangkai dari generasi kedua (f2) hingga generasi kelima melalui sistem tanaman secara tabur terus.  Pemilihan pokok individu dilakukan semasa generasi ke 6 hingga ke 8.  Proses pemilihan ini telah menghasilkan titisan RU 6261-21-1-1 yang diuji dalam Percubaan Hasil Awal yang dikenali dengan kod SPD 85 dan akhirnya memasuki Percubaan Hasil Lanjutan dan ia diberi kod baru Y 1333.  Selepas itu baka ini dinilai dalam Percubaan Penyesuaian Baka dan Percubaan Penetusahan Setempat menggunakan kod MR 232.  Memandangkan varieti ini mempunyai tindak balas terhadap pembajaan yang berbeza, maka pakej pengurusan yang khusus untuk varieti ini dibangunkan.

    MR 232 dikategorikan sebagai varieti yang matang awal.  Ia mempunyai bentuk pokok yang tegak dan rendah berbanding dengan MR 219.  Batangnya kuat dan tahan rebah.  Seperti MR 219, ia dapat menghasilkan anak sekitar 450-500 pada setiap meter persegi.  Tangkainya lebih panjang daripada MR 219 menghampiri 26 cm.  Kepadatan biji pada tangkai adalah lebih jarang jika dibandingkan dengan MR 219 dan ini meningkatkan peratus padi beruas.  Varieti ini mempunyai bentuk biji padi yang menarik dengan perbezaan panjang yang ketara jika dibandingkan dengan MR 219 tetapi bijinya lebar atau sama dengan MR 219.  Berat seribu biji MR 232 (28.9 gm), adalah lebih berat daripada MR 219 dan diklasifikasikan sebagai gred panjang dan ini membolehkannya mendapat harga yang premium di pasaran.

  2. MR 220
    Varieti padi MR 220 yang juga dikenali sebagai Padi Mas di kalangan petani, mempunyai keturunan yang sama dengan MR219.  Setelah melalui proses pemilihan dan penilaian ciir-ciri dan prestasi hasil yang memakan masa sekitar 12 tahun, ia telah menunjukkan beberapa kelebihan yang mewajarkannya disyorkan kepada petani.  Varieti ini mempunyai bebrapa ciri yang dapat menandingi MR 219.

    Pembiakbakaan:

    Varieti MR 220 dihasilkan melalui kacukan antara baka MR 151 dan MR 137.  Penanaman generasi kedua (F2) hingga generasi kelapan (F8) dilakukan secara tabur terus dan pemilihan dilakukan berasaskan ciri tangkai sahaja.  Pemilihan untuk mendapatkan bentuk pokok yang baik dilakukan pada tiga generasi selanjutnya dan ketika proses penulenan.

    Varieti ini diuji dalam Percubaan Hasil Awal pada Musim Luar 1996 hingga Musim  Utama 1996/97.  Ia kemudiannya diteruskan ke Percubaan Hasil Lanjutan selama tiga musim (Musim Luar 1997 hingga Musim Utama 1998/99) dan seterusnya Percubaan Penyesuaian Baka pada Musim Utama 1999/2000.  Ia diuji dalam percubaan ini selama empat musim di 16 lokasi yang berbeza di kawasan utama tanaman padi Semenanjung Malaysia dengan frekuensi ujian sebanyak 34 kali.  Setelah menunjukkan prestasi yang baik, Percubaan Penentusahan Setempat (LVI) dijalankan.

    Ciri-Ciri Varieti:

    Umur Matang
    Varieti MR 220 mempunyai umur matang yang sama dengan varieti MR 219 iaitu sekitar 105 hingga 113 hari bergantung pada musim dan sistem penanaman yang diamalkan.  Varieti ini matang lebih kurang 10 hari lebih awal berbanding varieti MR 84.

    Bentuk Pokok

    Bentuk pokok MR 220 tidak banyak berbeza daripada varieti MR 219 dengan varieti MR 219 dengan ketinggian batang antara 76 cm hingga 80 cm.  Ia mempunyai daun yang lebat di bahagian pangkal pokok dan daunnya lebar sedikit dengan varieti MR 219.  Daun pengasuhnya tegak tetapi boleh melentok sekiranya terlebih baja atau ditanam di kawasan yang terlalu subur.

    Tangkai dan Biji

    Tangkai MR 220 adalah sama panjang (23 cm) dengan MR 219 tetapi jauh lebih panjang daripada varieti MR 84 (19.8 cm).  Walau bagaimanapun bilangan biji setangkai bagi MR 220 adalah rendah sedikit daripada MR 219 tetapi lebih banyak daripada MR 84.  Perbezaan yang ketara antara MR 220 dengan MR 219 dapat dilihat pada ciri-ciri bijinya.  Biji MR 220 lebih besar, panjang, lebar dan berat daripada MR 219 dan juga MR 84.  Berbentuk panjang dan bujur, beras MR 220 dikategorikan dalam gred panjang.

    Kerintangan Musuh dan Penyakit

    Varieti MR 220 mempunyai tahap kerintangan yang sangat baik terhadap tiga perosak utama padi iaitu penyakit karah dan hawar daun bakteria dan sederhana rintang terhadap penyakit merah virus.  Tahap kerintangan ini setanding dengan varieti MR 219.  Walau bagaimanapun, ia hanya sederhana rentan terhadap hawar seludang seperti MR 219 dan MR 84.  Untuk hawar seludang, kawalan perlu dilakukan melalui kaedah kimia dan amalan agronomi yang baik.

    Pengilangan

    Berbanding dengan MR 219, MR 220 mempunyai peratus perolehan beras (76%) dan perolehan beras kepala (83%) yang lebih baik walaupun perbezaannya hanyalah sekitar 4% dan 2% sahaja.  Biji beras MR 220 adalah yang terpanjang (purata 6.95 mm) berbanding dengan MR 219 (6.91 mm) dan MR 84 (6.07 mm).  Walaupun begitu, lebih berasnya adalah lebih rendah daripada kedua-dua varieti MR 219 dan MR 84.  Ini memberi gambaran bahawa bentuk biji beras MR 220 lebih tirus (slender) berbanding dengan MR 219 ataupun MR 84.

    Mutu Nasi

    Kelembutan nasi MR 220 adalah setaraf dengan MR 219 memandangkan kandungan amilosa yang hampir sama bagi kedua-dua varieti ini iaitu sekitar 20% hingga 22% berbanding dengan MR 84 yang mempunyai citarasa nasi yang keras (28% amilosa).  Nilai kekonsistenan gel dan juga pepecahan alkali juga memastikan varieti MR 220 dan MR 219 mempunyai citarasa nasi yang lembut, jauh lebih baik daripada MR 84.

  3. PADI MR 219
    Dihasilkan melalui projek Pembentukan Varieti Untuk Sistem Tanaman Tabur Terus yang dimulakan pada awal tahun 1988.  Berbeza dengan varieti-varieti yang terdahulu, varieti ini dihasilkan melalui sistem tanaman tabur terus di semua peringkat pemilihan dan penilaian kecuali di peringkat pembiakan generasi F1 dan pembiakan biji benih.  Oleh itu varieti ini memenuhi sebahagian besar ciri-ciri yang diperlukan untuk pengeluaran hasil yang tinggi di bawah sistem tanaman tabur terus.
    Dihasilkan melalui kacukan antara baka MR 137 dan baka MR 151 yang dilakukan pada musim luar  1991.  Baka MR 137 mempunyai ciri-ciri bentuk pokok yang baik, umur matang yang singkat, saiz dan rupa bentuk biji serta cita rasa nasi yang sangat baik.  Baka MR 151 pula mempunyai kebaikan pada ciri-ciri masa yang seragam pada tangkai dan ciri senesen daun.  Dari segi kerintangan terhadap musuh dan penyakit, MR 137 rintang terhadap benah perang, MR 151 rintang terhadap Penyakit Merah dan kedua-duanya adalah rintang terhadap Karah dan Hawar Daun Bakteria.  Varieti MR 219 didapati mewarisi sebahagian besar ciri-ciri yang baik terdapat baka-baka induk ini.

    Kandungan amilosa MR 219 adalah rendah sekitar 21.4%.  Ini menyebabkan cit rasa nasinya lembut.  Baka MR 219 adalah baka yang berdaun lebat.  Pembajaan awal (peringkat permulaan) tidak perlu melebihi kadar subsidi yang disumbangkan oleh kerajaan.

  4. PADI MR 185

    Telah diperkenalkan pada tahun 1986.  Baka MR 185 dihasilkan daripada kacukan antara baka Y 1056 dan MR 133.  Kacukan ini bertujuan mengurangkan lebar daun MR 133 dan juga meningkatkan bilangan spikeletnya.  Kacukan dijalankan pada tahun 1990.  Dalam sistem tanaman tabur terus, varieti MR 185 matang lebih kurang 112 hari lepas tabur pada musim utama dan 119 hari pada luar musim. Bilangan biji pada 97-186 biji setangkai dengan purata 140 biji setangkai.  Mutu pengilangan beras dan mutu nasi MR 185 hampir sama dengan mutu MR 84.  Beras MR 185 sepanjang 6.45 + 0.29 mm.  Berasnya lebih tirus daripada beras MR 84 dengan nisbah panjang/lebar 2.2.  Potensi hasil MR 185 tinggi dan mudah dicapai.

    Rintang terhadap penyakit karah dan sederhana rintang terhadap hawar daun bakteria, tetapi sederhana rentan terhadap benah perang dan penyakit merah.  Baka ini mudah diserang oleh penyakit bintik perang apabila kandungan kalium dalam tanah rendah.

  5. PADI MR 167Kacukan antara baka Y 978 dan baka PTB 18 dilakukan pada musim utama, dan pada musim luar (1986) baka F nya dikacukkan dengan vareiti Muda MR 71.  Objektif kacukan adalah untuk mengurangkan ketinggian dan memperkukuh batang varieti Muda.  Pemilihan dan penulenan dijalankan selama tujuh musim sebelum dimasukkan ke dalam set Percubaan Hasil (Y 1138) dan Percubaan Penyesuaian (MR 167).

    Umur matang awal sedikit (sekitar 121-132 hari) daripada MR 84, bergantung pada musim dan kaedah penanaman.  Tanaman akan matang sekitar 121-125 hari apabila ditanam pada musim utama dan secara tabur terus.  Manakala umur matang akan meningkat sekitar 125-132 hari jika ditanam secara cedungan pada musim luar.  Pokok varieti ini rendah sedikit daripada MR 84 dengan ketinggian batang sekitar 79-80 cm.  Pokok akan menjadi tinggi apabila ditanam pada musim luar dan di kawasan-kawasan yang subur.  Apabila ditanam di persekitaran yang subur, daun pengasuhnya menjadi lebih panjang dan lebar.  Di dalam keadaan terlalu subur daun akan pecah di bahagian urat tengah dan persekitaran mikro yang wujud akan memudahkan varieti ini dijangkiti penyakit hawar seludang atau hawar daun bakteria.  Varieti ini hanya rintang terhadap penyakit karah.  Untuk hawar daun bakteria dan hawar seludang ia hanyalah sederhana rentan.  Ia juga rentan terhadap serangan benah perang dan penyakit merah virus.

    Panjang berat varieti MR 167 ialah 6.51 + 20 mm iaitu panjang sedikit daripada MR 84.  Perolehan pengilangan adalah sekitar 70.1% dan peratus perolehan kepala beras adalah tinggi sekitar 89.8%.  Citarasa nasi adalah sama dengan MR 84 iaitu sederhana sedap.






d)PENGURUSAN PEROSAK TANAMAN PADI

Satu pendekatan pengurusan kawalan perosak yang menggabungkan aktiviti pertanian, kawalan biologi dan penggunaan kimia secara bijaksana dan terhad, iaitu:

  • Penggunaan Varieti Rintang
  • Amalan Kultura
  • Penggunaan Musuh Semulajadi

Penggunaan biji benih tulen yang menepati Standard Minimum Biji Benih, di mana ia tulen dan tidak berpenyakit akan dapat mencegah kejadian rumpai dan serangan penyakit bawaan biji benih.
Penyediaan tanah yang sempurna termasuk meratakan tanah dan pengurusan air yang berkesan.
Musuh semulajadi membantu membunuh perosak-perosak tanaman adalah labah-labah, pepatong dan kumbang-kumbang seperti Casnoide interstitialis, Coccinella arcuta dan lain-lain. Kumbang Coccinella arcuta makan serangga perosak khususnya anak dan ibu bena perang sementara kumbang Pyrtorhinus lividipennis memusnahkan telur bena perang manakala labah-labah memerangkap serangga perosak.

  • Kawalan Perosak Secara Biologi

Ternakan ikan seperti ikan keli, sepat dan lampan jawa secara intergrasi di dalam sawah dapat mengawal serangan serangga, moluska dan rumpai serta mengurangkan penggunaan racun. Dengan mengambil faktor-faktor ekosistem sawah, satu hektar sawah boleh menampung diantara 3000-4000 ekor anak ikan. Ikan boleh dituai selepas berumur 60 hari.

  • Penternakan Itik Muscovy Secara Intergrasi
  • Penggunaan Racun Perosak Secara Betul

Dapat mengawal masalah rumpai sawah, padi tumpah dan juga merupakan sumber protin dalam kehidupan harian pesawah.
Penggunaan racun perosak adalah dibenarkan jika ia melebihi tahap tindakan kawalan, sekiranya populasi perosak atau kejadian penyakit melebihi paras tersebut.






e) KEBAIKAN DAN KEBURUKAN TANAMAN PADI



KEBAIKAN:
  1. Tanaman padi ini sebagai sumber makanan utama negara.
  2. Merupakan hasil pendapatan negara.
  3. Menaikkan sumber pendapatan petani.
  4. Mengurangkan aktiviti pengimportan.
  5. Penghasilan jentera baru mengikut peredaran masa.
  6. Menggalakkan lagi pengeluaran bahan-bahan pertanian.
  7. Menggunakan kawasan yang lapang dan terbiar dengan sebaik mungkin.
  8. Penghasilan varieti baru.
  9. Sumber kanji/karbohidrat kepada negara.
  10. Dapat menjadi pengeluar padi utama.



 KEBURUKAN:
  1. Tanaman padi ini mempunyai banyak perosak
  2. Biji benih padi mudah diperolehi dan murah
  3. Mempunyai banyak penyakit-seperti padi angin
  4. Kawasan penanaman tidak sesuai
  5. Apabila tiba musim banjir tanaman akan musnah
  6. Kurangnya penggunaan teknologi
  7. Tempat pemprosesan kurang efision.



f) KESIMPULAN


     Padi sawah dan padi Huma merupakan antara jenis padi yang ditanam di Malaysia. Namun, sumbangan terhadap negara dalam menghasilkan pengeluaran yang tinggi menyebabkan padi sawah adalah komoditi yang banyak ditanam di Malaysia. Pelbagai kaedah penyelidikan dan pembangunan dijalankan oleh pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan bekalan beras kepada pengguna mencukupi, bermutu, dan boleh didapati pada harga yang stabil.Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merupakan salah satu badan kerajaan yang memainkan peranan penting dalam menggalakkan kemajuan industri padi dan beras serta industri berasaskan padi dan beras.Hasil kacukan dan penyelidikan yang mengambil masa bertahun-tahun bagi menghasilkan benih padi bermutu,hasil padi yang tinggi dan lebih resisten terhadap penyakit dan perosak merupakan antara kejayaan oleh agensi kerajaan khususnya MARDI ialah padi sawah yang ditanam di Malaysia.




g) RUJUKAN


hijausawah.blogspot.com/
www.moa.gov.my (LEMBAGA KEMAJUAN PERTANIAN MUDA)
www.kada.gov.my/ (LEMBAGA KEMAJUAN PERTANIAN KEMUBU)
Tuna Roll Sushi

3 comments:

  1. TEKNOLOGY NANOSPADA

    Kami ada beberapa produk yang boleh membantu anda untuk mengapuskan bakteria dan kulat dan bagi perlingungan sepenuhnya pada tanaman anda. Produk kami untuk diedarkan ke pasaran dapat memberi kesan yang amat bagus pada penjagaan tanaman dan peningkatan hasil.

    Untuk keterangan lanjut sila klik link blogger kami : http://blogperlindungantanaman.blogspot.my

    Untuk tempahan produk atau pertanyaan sila sms atau whatsapp ke no telefon : 01120205784(Cik Mila)

    ReplyDelete
  2. TEKNOLOGY NANOSPADA

    Kami ada beberapa produk yang boleh membantu anda untuk mengapuskan bakteria dan kulat dan bagi perlingungan sepenuhnya pada tanaman anda. Produk kami untuk diedarkan ke pasaran dapat memberi kesan yang amat bagus pada penjagaan tanaman dan peningkatan hasil.

    Untuk keterangan lanjut sila klik link blogger kami : http://blogperlindungantanaman.blogspot.my

    Untuk tempahan produk atau pertanyaan sila sms atau whatsapp ke no telefon : 01120205784(Cik Mila)

    ReplyDelete
  3. Saya ada 8ekar sawah padi... Tak tau nak tanam dan urus.. Kalau ada yang berminat jv dialu alukan.. Kaw melaka

    ReplyDelete